Ulasan Pembaca buku: Dialog antara agama dari perspektif AL-Quran

Dialog pertama antara Muslim dan Kristian telah berlaku semasa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah. Disebabkan umat Islam ditindas dan ditekan oleh kaum Musyrikin Mekah. Menurut Martin Lings, rombongan tersebut disertai oleh 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya lebih 1400 tahun dahulu.

Pada tahun 9 H dan 10H, menurut Ibnu Ishaq sekumpulan 60 orang Kristian dari Najran yang dipimpin oleh Abdul al-Masih, al-Ahyam dan Abu Haritha al-Qama (paderi) menemui Rasulullah s.a.w di Madinah. Rombongan tersebut diterima dengan baik dan Rasullullah s.a.w mengajak mereka supaya beriman kepada Allah s.w.t, tetapi ditolak dengan alasan mereka terlebih dahulu beriman kepada Allah s.w.t berbanding dengan orang Islam.

Semasa berbincang dengan Rasulullah s.a.w, mereka memperkatakan tentang doktrin Kristian dan ketuhanan Nabi Isa, terutamanya mengenai kelahirannya yang tidak berbapa. Ia dianggap sebagai luar biasa, termasuk kebolehan berkata-kata ketika masih bayi, boleh menghidupkan burung dari tanah liat dan menyembuhkan orang buta dan penghidap penyakit kulit.

Peristiwa itu telah dijelaskan dengan berkesan melalui surah Ali-Imran. Misalnya, ayat 64 menjelaskan “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah berpegang kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).”
Berdasarkan peristiwa tersebut, Rasullullah s.a.w turut menolak dakwaan Kristian mengenai ketuhanan Nabi Isa a.s, dan menyamakan kedudukan Nabi Isa a.s adalah sama dengan Nabi Adam a.s. Kelahiran tanpa bapa bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama tidak mempunyai bapa dan ibu. Kesemua yang hadir akur dengan penjelasan Rasulullah s.a.w yang mempelawa diadakah mubahalah. Walau bagaimanapun, Abu Haritha meminta Rasulullah s.a.w terus membenarkan mereka kekal dengan agama Kristian dan berjanji akan membayar jizyah.

Prof Madya Dr. Ramli Awang dari Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia membahaskan mengenai keperluan mengadakan dialog antara agama melalui karyanya, Dialog Antara Agama dari Perspektif Al-Quran (DAAQ) secara jelas dan tuntas. Menurut beliau, Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia dan Muslim diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain.

“Oleh kerana itu, di sepanjang sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Dalam rangka yang sama, bekas Presiden Iran, Sayyed Mohammed Khatami (Lahir 1943) telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menamakan tahun 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban”. (hal. 4)

Buku DAAQ setebal lebih 250 halaman cuba menghuraikan kewajaran mengadakan dialog antara agama terutamanya bagi menghapus prasangka dan prejudis bukan Islam. Sikap jelek dan kurang yakin pihak-pihak tertentu untuk mengadakan dialog antara agama turut diselar oleh pengarang, termasuk sebuah tesis konflik peradaban yang dikemukakan oleh Samuel Huntington dan Francis Fukuyama.

Menurut pengarang, “pandangan yang cenderung kepada dendam dan bersifat monopoli yang disampaikan oleh kedua cendekiawan Amerika Syarikat itu mendapat protes meluas dari banyak pemikiran dan cendekiawan dunia, termasuk di Barat sendiri. Akhirnya, Huntington dan Fukuyama terpaksa membetulkan pandangan mereka. Huntington dalam satu ucapannya mengakui akan kemungkinan kebangkitan peradaban Islam seraya berkata, “Saya telah melakukan kesalahan tentang teori yang saya utarakan…sebagaimana juga para cendekiawan lain pada masa lalu pernah melakukan kesalahan.” (hal.5-6)

Mengenai konsep beragama berdasarkan al-Quran, pengarang memberikan penjelasan yang meyakinkan mengenai pengertian agama dan hubungannya dengan keyakinan kepercayaan terhadap adanya Tuhan. Pelbagai perspektif pemikiran tokoh dan ahli falsafah turut dibincangkan mengenai konsep beragama, antaranya CC Web, William C. Smith (tokoh yang banyak mengkaji tentang pengaruh sastera sufi dalam masyarakat Islam), John Dewey (1859-1959), termasuk sikap kumpulan ateis terhadap agama. Walaupun kaum ateis dilihat tidak beragama, Dr. Mustaffa Mahmud menjelaskan bahawa:

“Budi pekerti ini adalah antara kelaziman-kelaziman agama. Agama hanya mempunyai satu makna. Sedang anda mencampur-adukkan antara agama dengan budi pekerti. Agama adalah mengenal Tuhan sebagaimana semestinya, mengenal sifat-sifat dan kedudukan-Nya, di mana terjalin hubungan muamalat antara anda dengan Dia. Mengenal Dia sebagai Yang Maha Agung dan Mulia dan dekat dengan anda. Dia mendengar dan melihat serta menyambut seruan anda dalam rukuk dan sujud dengan penuh kekhusyukan hati sebagai seorang hamba sahaya menghadap pemiliknya. Sikap dan muamalat (pergaulan) anda dengan Tuhan yang khusus inilah yang dinamakan agama.”(hal. 20)

Dailog sebagai tabiat Islam adlah berlaku kerana sejak kelahirannya lagi, Islam sentiasa berinteraksi dalam dunia yang pelbagai budaya dan agama. Sejak kelahiran Islam, dialog pelbagai budaya dan kepercayaan telah lama berlaku di Semenanjung Arab, Islam terpaksa berhadapan dengan penganut agama samawi yang lain, Yahudi, Nasrani (Kristian) dan masyarakat Jahiliyah. Begitu juga dengan period perkembangan Islam selanjutnya, ia berlangsung melalui kekuatan dakwah dan tidak berdasarkan paksaan. Ini menggambarkan bahawa dialog merupakan pendekatan yang telah membawa banyak kemajuan dan perkembangan dalam menegakkan agama Islam.

Faktor yang menyebabkan munculnya dialog antara agama adalah kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah. Kerana itu dialog antara agama merupakan medan “bertukar pandangan tentang masalah dan kehidupan kemanusiaan yang berlandaskan agama masing-masing. Kenyataannya, hakikat ini tidak akan terjalin secara sempurna selagi masing-masing penganut masih diselaputi bibit-bibit prasangka dan kecurigaan.” (hal.39).

Mengenai tujuan dan kepentingan dialog, pengarang menjelaskan bahawa dialog harus memiliki tujuan positif bagi mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Sebagai metod baru penyebaran agama, dialog mestilah berlangsung dengan penuh seimbang kerana tanpa keseimbangan, “dialog hanya akan diertikan oleh kaum inferiority, sebagai suatu bentuk kekalahan dalam melawan kebatilan serta kesewenang-wenangan yang ditawarkan oleh bangsa superior.” (hal. 47-48)

Mengenai budaya dialog mengikut al-Quran, pengarang menjelaskan ia mestilah menumpukan perhatian kepada dialog dengan kelompok yang berbeza pandangan. Ia mestilakan dilaksanakan melalui metod pendidikan, kerana ia berlangsung secara lebih harmoni. Dengan mengambil contoh kekaburan fahaman yang dimiliki oleh malaikat mengenai kelayakan nabi Adam a.s sebagai Khalifah telah menguji para malaikat agar mengkhabarkan nama-nama benda. Para malaikat tidak mampu menjawabnya, bagaiamanapun Adam a.s dengan ilmu yang diajarkan oleh Allah berjaya memberikan jawapan baik. Peristiwa ini dijelaskan melalui surah al-Baqarah, ayat 30-32.

Syarat-syarat berdialog ialah kedua pihak mesti bersetuju mempunyai kesefahaman dengan kepercayaan orang lain, menghormati perbezaan fikiran dan keyakinan, berilmu, menjaga adab dialog, bebas memilih, dan tidak menggunakan pendekatan teologi. Walaupun Islam menggalakkan dialog bagi menyelesaikan perkara-perkara penting, turut diberikan ketetapan bahawa dalam keadaan-keadaan tertentu dialog tidak mampu melakukannya. Ini berlaku apabila “adanya kekuatan-kekuatan zalim yang dengan tidak semena-mena menyerang dan merompak kekayaan negara-negara lain. Dalam keadaan seperti ini, Islam menyarankan pembelaan diri dan meminta kepada pihak yang dizalimi agar mengadakan perlawanan semampunya untuk merebut kembali hak mereka yang dirampas.” (hal. 76-77)

Bagi mendapatkan pemahaman yang jelas mengenai suasan dialog dan siat-sifat dialof terbaik, pengarang memberikan contoh mengenai dialog para nabi sebagaimana terkisah dengan jelas dalam al-Quran. Contohnya ialah dialog antara Nabi Nuh a.s dengan kaumnya (atas tuduhan Nabi Nuh a.s. sebagai orang yang sesat), dialog Nabi Shuib dengan kaumnya (kezaliman masyarakat dalam aktiviti ekonomi), dialog Nabi Lut a.s dengan kaumnya (keinginan seksual manusia), dialog Nabi Ibrahim a.s dengan kaumnya (mengajak manusia menyembah Allah s.w.t), dialog Nabi Musa dengan Firaun dan ahli sihir (kekuasaan dan politik pemerintahan), dialog Nabi Hud a.s (mengjak menyembah Allah SWT), dan dialog Nabi Muhammad s.a.w (menolak pemikiran palsu oleh Yahudi, Nasrani, Musyrikin dan lain-lain kumpulan jahiliyah).

DAAQ turut memberikan penjelasan mengenai agama-agama lain selain dari Islam bagi membolehkan pembaca memahami secara menyeluruh dan asas. Agama-agama yang turut diberikan sorotan ialah Yahudi, Kristian (Nasara), Majusi, Sabi’in (saling bertukar agama), dan Musyrikin (kumpulan yang menyekutukan Allah s.w.t). Setiap agama ini disorot dalam perspektif asas ajaran, kitab-kitab yang digunakan dan beberapa penyelewengan yang berlaku dalam kalangan penganutnya.

Turut mendapat perhatian pengarang ialah mengenai keberanan beragama yang menonjolkan sosok peribadi Nabi Muhamad SAW dalam sumber-sumber bukan Islam. Antaranya dalam pandangan Old Tastement (Perjanjian Lama), Isaiah, New Tastement (Injil), Kitab Suci Buddha, Kitab-kitab Hindu, dan Kitab Suci Bangsa Parsi (Dasatir).

Kelahiran buku DAAQ ini boleh memberikan panduan kepada umat Islam bagi membina sikap postif sepanjang menghadapi kesukaran berinteraksi dengan bukan Islam. Buku ini diharapkan mampu menyanggah sikap negative orang Islam sendiri mengenai percubaannya memahami agama lain sebagai sesuatu yang “tidak perlu” dan mengikiskan tindakan mengkafirkan sesama Islam atas pelana perbezaan fahaman politik. Sesungguhnya perbezaan pendapat antara Islam dan bukan Islam, dan dalam kalangan umat Islam mampu diharmonikan melalui dialog. Namun dialog tersebut mestilah berlangsung dalam suasana yang harmoni dan tidak diselubungi rasa bangga diri yang keterlaluan.

Nama Buku : Dialog Antara Agama dari Perspektif Al-Quran
Pengarang : Prof. Madya Dr. Ramli Awang
Terbitan : Universiti Teknologi Malaysia Press, 2008 (cetakan pertama edisi kedua)
Harga : RM 35.00

Pengulas : KAMARUN KH

dipetik dari sumber: klik sini

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: