NABI MUHAMMAD SAW DARI PERSPEKTIF SWAMI HINDU

PENDAHULUAN
Di Barat muncul istilah ‘islam-fobia’ yang sengaja direka untuk menakutkan dan menjauhkan orang ramai dari mendekati Islam. Tidak memadai dengan istilah itu dipasang pula istilah bersifat ‘make up’ dengan rupa wajah yang menggerunkan seolah-olah ‘drakula’ penghisap darah dalam mitos masyarakat Barat. Hasilnya istilah islam terroris, Islamic bomb dan berbagai lagi dipakaikan kepada ajaran Islam secara tidak benar. Semua itu bersifat negatif dan tergolong dalam rangkaian usaha ‘demonologi’ Islam. Iaitu satu usaha dan gerakan fikriyyah yang dilakukan oleh dunia Barat bagi menjauhkan dan mencipta situasi agar masyarakat takut kepada Islam. Seolah-olahnya Islam pada mereka tidak lebih dari syaitan yang jahat dan menakutkan sesiapa yang memandangnya. Demikianlah dunia Barat yang didominasi oleh pemikiran Zionis berjaya membentuk fikrah songsang masyarakat hasil media massa yang dikuasainya.

WARISAN SALIBIYYAH
Dalam situasi pemimpin-pemimpin agama dunia Kristian di Barat kelihatan tiada berganjak dari sikapnya yang memusuhi dan prejudis melampau terhadap Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. hasil warisan permusuhan salibiyyah lampau; penyerlahan pandangan negatif dan penghinaan terhadap baginda, beberapa perspektif positif dicatatkan muncul dari beberapa tokoh agama kalangan umat beragama Hindu. Perkembangan mengenai penerimaan positif tokoh-tokoh agama Hindu (swami) terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dalam waktu mutakhir ini telah menjadi antara topik yang hangat dibincangkan.
Kemungkinan mereka yang bersikap negatif terhadap Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. khususnya di dunia Barat, lantaran terpengaruh dengan dakyah yang sengaja dirancang oleh kelompok Freemasonary dan Gerakan New World Order (Tatanan Dunia Baharu) demi kepentingan mereka dengan mencipta ‘permusuhan’ ataupun bersebabkan masih belum terserlah hakikat sebenar utusan Allah itu.

Walaupun tuduhan, tentangan dan pemalsuan fakta masih berlangsung dengan hebat berbanding sanjungan yang diberikan, para penganalisis memiliki sangkaan yang kuat bahawa golongan yang berpandangan positif ini melihatnya dalam wacana falsafah keharmonian sejagat wawasan rahmatan lil alamin menepati seruan tajaan al-Quran.

CATATAN KITAB VEDA
Kitab suci umat beragama Hindu terdapat catatan yang menyebut perihal Nabi Muhammad s.a.w. sama seperti yang sedia termaktub dalam Holy Bible. Kenyataan berkenaan wujudnya perkhabaran mengenai Nabi Muhammad s.a.w. dalam kitab agama Hindu diutarakan sendiri oleh pendeta Hindu yang mengkajinya dan membandingkan dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. yang terdapat dalam ajaran Islam. Kajian tersebut membawa mereka kepada satu kesimpulan mengejutkan ramai orang pada era moden hari ini.
Perkembangan mutakhir tentang hal ini terjadi di India. Antaranya kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Ved Prakash yang berjudul “Pundit verifies Messenger was foretold” yang pernah disiarkan oleh Broadcasted on BIC News pada 8 Disember 1997 dan sebelumnya telah dimuatkan dalam laporan The Message, bulan Oktober pada tahun yang sama memperlihatkan perkembangan yang dimaksudkan.

Prof. Pundit Ved Prakash dalam kajiannya mencatatkan “The Last Kalki Avatar (Messenger) that the Veda has foretold and who is waited on by Hindus is the Prophet Muhammed ibn Abdullah (s.a.w).” Dapatan hasil kajian oleh professor bahasa dari Alahabad Universiti India ini telah dimuatkan dalam salah satu buku terbarunya berjudul “Kalki Avatar” (Petunjuk Yang Maha Agung). Penerbitan buku ini yang isinya antara lain menyebut pernyataan yang sangat mengejutkan kalangan intelektual Hindu.
Professor tersebut secara terbuka dan dengan alasan-alasan kajian ilmiah, tanpa segan-silu menyeru para penganut Hindu agar segera memeluk Islam dan sekaligus mengimani risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini demikian menurutnya, lantaran Muhammad Rasulullah s.a.w adalah peribadi yang dinanti-nantikan sebagai pemimpin pembaharu dunia spiritual.

Prof. Ved Prakash yang masih berstatus pendeta besar kaum Brahman mengatakan bahawa beliau telah menyerahkan hasil kajiannya kepada lapan orang pendeta besar kaum Hindu dan kesemua mereka menyetujui kesimpulan serta seruan yang telah dinyatakan dalam buku itu. Semua kriteria yang disebutkan dalam buku suci kaum Hindu (Veda) tentang ciri-ciri Kalki Avatar sama dengan ciri-ciri yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w.

Dalam ajaran Hindu disebutkan mengenai ciri Kalki Avatar diantaranya, bahawa dia akan dilahirkan di Jazirah (Semenanjung Arab), bapanya bernama Vishnu-Yash dan ibunya bernama Sumati. Dalam bahasa Sanskrit kata Vishnu-Yash adalah paduan dari dua kosa kata yaitu Vishnu yang bermaksud Tuhan (Allah) sedangkan Yash ertinya anak lelaki atau hamba yang dalam bahasa Arab disebut sebagai Abdun. Dengan demikian kata Vishnu-Yash sama ertinya dengan sebutan bahasa Arab Abdullah (Hamba Allah). Demikian juga kata Sumati yang dalam bahasa Sanskrit membawa maksud aman atau sentosa. Manakala terjemahan bahasa Arabnya disebut sebagai Aminah. Perkara ini dimaklumi semua orang Islam bahawa nama bapa Rasulullah s.a.w. adalah Abdullah (Hamba Allah) dan nama ibunya Aminah.

Dalam kitab Veda juga disebutkan bahawa Tuhan akan mengirim utusan-Nya ke dalam sebuah gua untuk mengajarkan Kalki Avatar (Petunjuk Yang Maha Agung). Cerita yang disebut dalam kitab Veda ini mengingatkan peristiwa yang terjadi di Gua Hira ketika Rasulullah didatangi malaikat Jibril untuk mengajar kepadanya wahyu pertama mengenai Islam.

Bukti lain yang dikemukakan oleh Prof. Prakash bahawa kitab Veda juga menceritakan Tuhan akan memberikan Kalki Avatar seekor kuda yang larinya sangat cepat ketika membawa Kalki Avatar mengelilingi tujuh lapis langit. Pernyataan ini memberi isyarat perihal kejadian Israk dan Mikraj yang dialami Rasulullah s.a.w dengan berkenderaan Buraq.

Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kitab Veda, para pakar beranggapan bahawa asal bawaan agama ini adalah berteraskan keesaan Tuhan dan mempunyai kaitan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Dalam tradisi sebutan yang dikenali dalam masyarakat India kuno, nama Brahma sering diidentifikasikan kepada Brahim (Ibrahim), sementara Sarah (isteri nabi Ibrahim) dikenali sebagai Saraswati.

Bagaimanapun terdapat penyelewengan dalam penerimaan masyarakat yang datang kemudian dengan panggilan yang berbeza sehingga hilang figur yang asal.

SWAMI LAKHSMI SHANKARACHARYA
Dalam perkembangan yang lain seorang pendeta Hindu bernama Swami Lakhsmi Shankaracharya tidak ketinggalan memberikan pandangannya sehubungan dengan peribadi Rasulullah s.a.w.

Beliau dalam pengamatannya menilai sahsiah Rasulullah s.a.w. sebagai manusia pilihan dan manusia terhebat dalam sejarah umat manusia. Pernyataan yang dikeluarkan oleh Swami Lakhsmi Shankaracharya “bahawa Muhammad adalah manusia pilihan dan terhebat dalam sejarah” dalam salah satu ceramahnya menjadi bukti lain yang jelas dalam hal ini. Ungkapan keagungan peribadi Nabi s.a.w. yang disebut oleh al-Quran sebagai wa innaka la ‘ala khuluqin ‘azim (dan sesungguhnya engkau wahai Muhammad memiliki akhlak yang paling agung) begitu sinonim dengan umat Islam. Bagaimanapun sekiranya pernyataan seumpama itu lahir dari seorang Swami Hindu di India – selaku tempat dan pusat kegiatan utama kehinduan dunia, maka ia dianggap sebagai perkara yang di luar dari kebiasaan. Hal ini akan lebih memeranjatkan lagi bilamana dilihat bahawa ajaran Hindu yang berteraskan trimurty (Brahma, Vishnu dan Shiva) amat bertentangan dengan konsep tauhid (mengesakan Allah) dalam ajaran Islam. Swami Hindu tersebut juga mengatakan bahawa belajar dan memahami Islam, kehidupan Nabi dan ajarannya adalah sumber terbaik. Ujarnya:

“Kita sedang berbicara tentang Nabi Muhammad dan kita harus ingat baik-baik dalam ingatan kita bahawa beliau adalah individu terhebat dalam sejarah. Jika setiap orang ingin mengetahui tentang Islam, harus menilai Islam dari kehidupan Nabi dan ajarannya.”

Demikian antara lain ungkapan Swami Hindu yang terkenal, Swami Lakhsmi Shankaracharya, seperti dikutip dalam Islamonline. Beliau mengeluarkan kata-kata tersebut ketika memberikan ceramah tentang “Sirah Nabi” yang membahas tentang sahsiah mulia Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah persidangan beberapa bulan lalu. Persidangan yang dianjurkan oleh Jamaat-e-Islami Hind, di wilayah Bihar, dan dinaungi individu bernama Nayyaruzzaman selaku ketua organisasi tersebut merangkap pemimpin daerah. Swami yang juga merupakan pengasas Pertubuhan Jan Ekta Manch, mengatakan bahawa perdamaian dan perikemanusiaan adalah inti dasar ajaran Islam. Beliau memberi penegasan:

“Ini adalah kewajiban bagi setiap Muslim berdasarkan agama mereka untuk menyelamatkan dan melindungi umat manusia, Nabi Muhammad sentiasa memaafkan musuh-musuhnya dan menunjukkan kesabaran yang tinggi ketika ia dimusuhi oleh orang lain, ini adalah moral ajarannya yang menjadikan Islam sebagai agama internasional.”

Lakhsmi Shankaracharya juga tidak terkecuali merujuk kepada sejarah Pembebasan Kota Mekah bagi memperkukuhkan hujahya sehubungan perihal ketinggian dan sifat pemaaf baginda Nabi s.a.w. Meskipun kalangan Quraisy begitu hebat memusuhi Islam dan menjadi penentang tegar Rasulullah s.a.w. sehingga merancang konspirasi sulit untuk membunuhnya. Bagaimanapun ketika mencapai kemenangan dan Islam berjaya menundukkan para penentangnya, musuh-musuh tersebut diberikan kebebasan sepenuhnya dan diampunkan.

Dalam isu berkaitan dengan jihad pula Swami Shankaracharya membenarkan bahawa diizinkan untuk berperang bagi mereka yang diperangi berdasarkan ayat al-Quran surah al-Hajj (22): 39, dan juga membenarkan bahawa Islam mengajarkan etika mulia ketika berperang iaitu tidak boleh melampaui batas.
Perlu disebutkan bahawa Swami pada awalnya sangat mengkritik hebat doktrin-doktrin Islam dan jihad. Beliau pernah menganggap Islam adalah akar-punca munculnya terorisme global. Pemikiran awal beliau yang negatif ini ternyata dicanai dari adunan keliru lantaran ia mempelajari Islam berdasarkan sumber-sumber yang memaparkan pandangan serong terhadap Islam. Api kebenciannya terhadap Islam itu kemudiannya dicetuskan dengan menulis sebuah buku berjudul “The History of Islamic Terrorism.” Buku ini memperlihatkan gagasannya yang tidak benar terhadap Islam. Hal ini begitu banyak kedapatan dalam penulisan dunia Barat yang mewarisi dendam kesumat permusuhan warisan perang Salib seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Walau bagaimanapun atas sikapnya yang berfikiran terbuka dan berlapang dada, Swami terus menerus mempelajari Islam. Beliau tidak terhenti pada meneliti sumber-sumber tulisan musuh-musuh Islam, sebaliknya mula beralih arah mencari sumber-sumber yang sahih berkenaan Islam. Di sini beliau telah menyedari adanya perbezaan yang amat ketara antara dua sumber tersebut. Hal ini membawanya kepada mempelajari sumber ajaran Islam yang unggul, iaitu kitab suci al-Quran. Pembacaannya terhadap Kitab Suci al-Quran dilakukan helai demi helai dan pada masa yang sama beliau mempelajari sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. Langkah ini telah menyebabkan beliau menukar persepsinya yang terdahulu dan beralih kepada suatu wawasan persepsi yang baharu.

Kesadarannya tentang hal ini dapat dirasakan bahawa beliau telah salah paham terhadap Islam dan sekaligus bersikap tidak adil terhadapnya. Swami mengakui kesalahannya dan memutuskan untuk menulis bantahan terhadap sumber-sumber negatif itu dalam sebuah bukunya yang berjudul “Islam – Aatank ya Aadarsh” yang artinya “Islam – Teror atau Jalan yang Ideal.”

Dalam buku tersebut, ia mengklarifikasi bahawa Islam adalah agama yang damai dan Muslim berjihad untuk mempertahankan diri demi menegakkan perdamaian, bukannya aksi keganasan sebagaimana yang sering diuar-uarkan oleh media massa milik Barat.

KESIMPULAN
Para sarjana dan cendekiawan moden yang mendukung gagasan ‘dialog agama’ tidak lagi bersifat sepertimana para sarjana sebelumnya yang melihat agama dalam ruang inklusifisme. Mereka kini lebih bersikap eksklusif dalam melihat agama yang bukan milik anutan mereka. Meskipun mereka tidak menerima Islam sebagai anutan kepercayaan diri, namun begitu, hal ini tentunya akan membawa kepada perkembangan baharu dalam dunia moden kini dan diharapkan sengketa, benci membenci dan prejudis atas nama agama tidak lagi menjadi penyebab renggangnya toleransi beragama dalam kalangan manusia. Penolakan dan penerimaan terhadap sesuatu bukanlah atas dasar emosi dan nafsu ammarah, sebaliknya berdasarkan ilmu dan fakta yang sebenar. Inilah sikap dan identiti sebenar ahli ilmu dan sarjana. Mereka tidak mengeluarkan sesuatu kenyataan tanpa fakta atau ikut-ikutan kepada generasi terdahulu tanpa kajian.

ramlinawang@yahoo.com

RUJUKAN:
http://news.atjehcyber.net/2013/02/ulama-hindu-muhammad-manusia-terhebat.html#ixzz2Q19cWShz
http://news.atjehcyber.net/2013/02/ulama-hindu-muhammad-manusia-
Muhammad Alamghir, 1999. Muhammad in the Vedas and the Puranas (translation), Kuala Lumpur: A.S. Nordeen.
Ramli Awang, 2008. Dialog Antara Agama dari Perspektif al-Quran. Skudai: Penerbit UTM Press.
http://news.atjehcyber.net/2013/02/ulama-hindu-muhammad-manusia-terhebat.html.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: