KHURAFAT DALAM JAMPI MENTERA

PENDAHULUAN

Kehidupan masyarakat tradisional Melayu yang melewati fasa peralihan daripada jahiliyah kepada Islam sering tersulam dengan perkara-perkara khurafat. Perkara khurafat tersebut ada kalanya telah menjadi darah daging kepada mereka dan sukar untuk dipisahkan. Justeru dalam kehidupan masyarakat orang-orang Melayu tradisional sering kali ditemui amalan-amalan berupa kepercayaan khurafat. Kebiasaannya amalan-amalan ini berkait rapat dengan budaya hidup mereka yang mempercayai perkara-perkara ghaib.

Sebutan ‘khurafat’ adalah ambilan daripada istilah bahasa Arab ‘kharafa’ dengan maksud fasadu al-‘aqli min al-kibari (فساد العقل من الكبر).[1] Iaitu rosak akal lantaran usia lanjut. Al-Khurafat pula: al-hadithu al-mustamlahu min al-kadhibi.[2] Iaitu percakapan yang mengandungi perkara-perkara dusta. Muhammad bin Idris al-Marbawi menyebut: Khurafat yang jamaknya khurafat (dibaca panjang pada sebutan fat) adalah cerita karut atau karut marut.[3] Kamus Dewan menyebut istilah khurafat sebagai: ajaran (huraian, pendapat) yang bukan-bukan atau karut, dongeng, tahyul.[4]

ASAL ISTILAH KHURAFAT

Al-Imam Majd al-Din Abi al-Sa‘adat al-Mubarak Ibn al-Athir (544-606H) menyebut asalnya Khurafat adalah nama seorang lelaki dari puak ‘Udhrah atau puak Juhaynah. Beliau telah diambil oleh sekumpulan jin dan tinggal beberapa waktu di perkampungan jin tersebut sebelum dihantar pulang. Apabila beliau dikembalikan kepada kaumnya, pengalaman pelik dan takjub yang dialaminya itu diceritakan kepada orang ramai dan mereka mendustakannya. Bermula dari sinilah istilah khurafat dipertuturkan orang sehubungan dengan perkara yang pelik (sukar diterima akal).[5]

KEPERCAYAAN KHURAFAT

Kebiasaannya kepercayaan khurafat berpunca daripada riwayat-riwayat hadis yang tidak sahih dan berunsurkan Isra’iliyat. Selain daripada itu ada juga asalnya berdasarkan kepercayaan Islam akan tetapi telah bercampur baur dengan adat tempatan dan diterima pakai bersama-sama apabila mereka telahpun berpegang kepada akidah yang benar. Pada anggapan mereka unsur-unsur tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam lantaran telah diasimilasi dan disulam dengan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah, nama Nabi, para sahabat dan seumpamanya. Hakikat ini boleh membawa kepada syirik dan juga bidaah bergantung kepada sejauh mana ‘tahap’ kepercayaan individu tersebut. Antara kepercayaan-kepercayaan boleh membawa kepada khurafat adalah amalan-amalan yang dilakukan dalam jampi mentera untuk tujuan-tujuan tertentu.

JAMPI MENTERA BERKAITAN MAKHLUK GHAIB (JIN)

Kalangan ini berkepercayaan dengan membaca jampi mentera tertentu, makhluk-makhluk rohani seperti jin dan syaitan boleh berdamping dengan mereka atau menghindari dari mereka. Apabila jin tersebut telah ‘mesra’ dan kenal mereka, atau gerun kepada mereka, maka hasrat dan hajat merekapun dipinta melalui jin tersebut.

Antara jampi mentera yang dibaca ialah:

(i) Mentera Orang Berkasih. Mentera ini dibaca pada matahari telah terbenam (waktu malam), biasanya oleh kaum remaja yang sedang bercinta:

“Hai Mak-mak selendang bayu,

Selendang datang selendang pergi,

Kalau mu kasih kat aku

Sila datang kemari.”

(Setelah dibaca dihembuskan ke udara mengikut arah angin bertiup sambil membayangkan rupa kekasihnya).

(ii) Mentera menghalau Jembalang Tanah. Mentera ini dibaca apabila mereka berhenti di suatu tempat dan bimbang dengan gangguan makhluk jin Jembalang Tanah:

“Hai Pak-pak tumbuh di tanah,

Nyahlah engkau jembalang tanah,

Aku nak ganti dengan Panglima Harimau Berantai,

Aku tahu asal usul mu,

Nurhu namamu,

Lengkar nama pusatmu,

Nurkali-kali nama ibumu,

Engkau berada persis tujuh petala langit

Persis tujuh petala bumi.”

(Setelah di baca, tangan kanan ditepuk ke tanah 3 kali).

(iii) Mentera berbaik-baik dengan Jembalang Tanah. Biasanya mentera ini dibaca ketika berlangsungnya adat memuja kampung:

“Hai Jin tanah Jembalang tanah,

Minta mu jaga bumi,

lambang bumi di sini,

Jagalah anak pinakmu kurang satu empat puluh,

Yang tua Jin hitam di bumi,

Jin hitam pemacak rabun,

Jin hitam salah habah,

Jin hitam sirat permainan,

Terimalah khidmat ini,

Nasi kunyit dadal bertih,

Sirih pinang dan air wa.” [6]

(iv) Mentera Pelepas. Amalan kepercayaan ini dilakukan setelah dilakukan renjisan tepung tawar untuk mengambil berkat. Setelah itu bagi melepaskan dan menghindari mara bahaya dibaca jampi mentera berikut:

“Bismillahir rahmanir rahim,

Hai ya sema ya semung,

Yang sema tiga terkendong,

Kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi,

Batang wong batang wang batang kerkendong,

Ribut salah musim salah hujan salah ketika,

Siapa punya melepas, kiong kemaling cendi seruka,

Dalam usul punya melepas,

Siapa yang melepas, dalam asal punya melepas,

Siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas

Siapa punya melepas, sema putih punya melepas,

Siapa punya melepas, sema hitam punya melepas,

Pelepas di padang luas,

Melepas Mak Inang kurang ‘se’ empat puluh,

Pelepas kata dengan berkat,

la ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.”[7]

Atau pun dibaca dengan jampi mentera ini:

“Hai jin tanah jembalang di bumi,

Hai jin hitam serangkap rang bumi,

pelesit di bumi,

putar tangguh di bumi puak juak mu,

Aku nak minta tolong jaga,

Tempat yang aku buat ini,

Aku menanggung baik atasku dan jahat atasmu

Dengan berkata la ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.” [8]

KESIMPULAN                                            

Akidah Islam adalah akidah yang jelas nyata. Hakikat pengabdian diri kepada Allah terkandung aspek mentauhidkan-Nya dalam uluhiyyah, rububiyyah, asma wa al-sifat, af‘al, hakimiyyah dan sebagainya diterangkan oleh al-Quran dan Sunah yang sahih. Bagaimanapun apabila akidah Islam tidak dipelajari dengan betul berdasarkan kaedah yang dikehendaki oleh al-Quran dan Sunah maka kemungkinan besar mereka yang terlibat akan terpengaruh dengan unsur-unsur khurafat dalam kepercayaannya kepada Allah SWT. Kepercayaan kepada jampi mentera, perdampingan dengan jin seperti yang dijelaskan ternyata satu perkara yang bersifat khurafat dan boleh mencacatkan akidah kepercayaan seseorang dengan Allah taala apabila dijadikan satu pegangan yang yakin.


[1]      Ibn Manzur (t.th), Lisan al-‘Arab, 6 juzuk, tahkik Abdullah Ali al-Kabir, Muhammad Ahmad Hasbullah dan Hashim Muhammad al-Shazli, 2: 1138; Lihat juga dalam al-Mu’jam al-Wajiz, hlm. 192.

[2]      Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, ibid., 2: 1140. Teksnya: (من الكذِبِ المُسْتَمْلَحُ والخُرافةُ: الحديثُ )

[3]      Al-Marbawi, Qamus al-Marbawi, 1: 169.

[4]      Lihat, Kamus Dewan (1998), Kuala Lumpur, edisi 3, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 675.

[5]      Ibn al-Athir (1347H), al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2: 25. Lihat juga Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, 2: 1140.

[6] Lihat Ismail Awang (1996), Adat Orang-Orang Melayu Yang Bertentangan Dengan Akidah Islam, Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., Kota Bharu, hlm. 19. Setelah selesai dijampi dengan mentera tersebut barangan seperti nasi kunyit (pulut kuning), dadal bertih, telur goreng akan dibungkus dan diletakkan di atas bumi untuk jin tanah dan sebungkus lagi tinggi sedikit dengan meletakkan beberapa batang kayu supaya lebih tinggi dari bungkusan pertama. Ini khusus untuk jin kampung. Orang yang melakukannya percaya jika tidak melakukan hal seperti itu setiap tahun atau tiga tahun sekali, ia akan membawa mala petaka atau orang-orang kampung akan diganggu oleh jin, iblis dan sebagainya.

[7] Ibid., hlm. 17-18.

[8] Ibid, hlm. 18. Setelah selesai jampi dipelepaskan dengan daun kelapa. Tepung tawar itu dicalit pada dahi orang yang hadir di situ supaya tidak terkena aral atau apa jua bahaya dengan berkat tepung tawar tersebut.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: