MENYULUH KARAKTER CEMERLANG DALAM DUNIA AKADEMIK

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Dalam dunia akademik dan kesarjanaan, ramai yang berbicara berkenaan dengan kecemerlangan. Berbagai peringkat bermula dari pelajar cemerlang, guru cemerlang, pengetua cemerlang, pensyarah cemerlang dan seterusnya. Hal demikian tidak terhenti pada dunia akademik semata-mata, malahan turut melibatkan bidang pekerjaan lain dalam kehidupan. Masing-masing melihat kecemerlangan adalah mercu-suar dalam karier dunia pekerjaan, perusahaan, akademi dan kesarjanaan serta lain-lain.

Dalam bidang akademik sebagai contoh ukuran kecemerlangan diukur dan dinilai berdasarkan kepada aspek pencapaian kejayaan murid. Berapa peratuskah kelulusan yang dicapai? Berapakah pangkat ‘A’ yang diraih pelajar? Berapakah bilangan pelajar yang berdaftar? Dan seterusnya dari penilaian yang bersifat lahiriah. Manakala dalam bidang pekerjaan pula akan diukur kepada kuantiti barangan yang hasilkan. Inilah perkiraan yang berligar dalam mengukur ‘dunia kecemerlangan ilmuan’ dan ‘pekerjaan era moden’ menuju transformasi.

Menyentuh secara adil terhadap istilah kecemerlangan serta hubungannya dengan dunia ilmu, tidak seharusnya menyimpang sama sekali dari diturut-sertakan dalam memperkatakan sandaran asas ilmu itu sendiri. Hal ini penting kerana apabila dasar asas ini dilupakan, maka perkara-perkara yang melingkari dasar asas ini akan turut dilupakan dan penetapan nilai kepada aspek tersebut turut menjadi mangsa pengamatan yang salah.

Ilmu adalah adalah salah satu dari sifat-sifat Allah: Al-‘Alim (Yang Maha Mengetahui). Atas rahmat-Nya secebis daripada ilmu itu dicurahkan kepada seluruh manusia untuk dikongsi bagi membangun potensi mengimarahkan dunia sebagai khalifah-Nya di bumi. Sungguh betapa agung dan luasnya ilmu Allah itu pernah dibandingkan sebagai sebuah lautan yang amat luas dan dicelupkan sebatang lidi kecil padanya. Titisan air yang terlekat pada hujung lidi itu adalah ilmu yang dimilik-kongsi oleh seluruh manusia sejak terciptanya mereka hingga kiamat, manakala limpahan air lautan yang luas itulah ilmu Allah yang kekal dan tidak akan berakhir.

Benarlah perkhabaran Allah SWT yang menyebut sekiranya ingin ditulis kalimat-kalimat Allah yang menjadi sumber ilmu pengetahuan manusia dan menggunakan lautan-lautan di dunia ini sebagai tintanya, nescaya lautan itu kering tanpa sempat mencatatkan kalimat-kalimat-Nya secara menyeluruh. Subhanallah. Di dunia yang kita hidup ini ada 5 buah lautan besar (Atlantik, Pasifik, Artik, Hindi, Lautan Selatan) dan beberapa buah laut (Cina Selatan, Mediterranean, Kaspia, Laut Merah, Laut Hitam). Bayangkanlah lautan-lautan ini akan kering sekiranya digunakan sebagai dakwat untuk menulis kalimat-kalimat Allah! Bukan sekadar itu, malahan masih belum mencukupi meskipun ditambah sebanyak itu pula! Al-Quran menyebut:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, Walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, 18: 109).

Al-Husayn Al-Damaghani menyebut ‘kalimat Allah’ dalam ayat di atas bermaksud ‘keajaiban-keajaiban ciptaan Allah.’ Ertinya setiap ciptaan Allah itu memiliki kesitimewaan tertentu yang penjelasan terhadapnya memerlukan ilmu tersendiri.

Begitu luas dan terperincinya ilmu Allah itu dijelaskan lagi oleh al-Quran dengan menyatakan:

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahui-Nya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (Surah al-An‘am, 6: 59).

Bandingan di atas sebenarnya memberi pengajaran bahawa konsep kecemerlangan ilmu dan mereka yang memiliki ilmu tidak terhenti pada aspek yang bersifat lahiriah semata. Paling utama ditekankan ialah aspek ‘rohaniah’ ilmu. Hal ini lantaran ilmu itu sendiri bersifat ‘rohani’ (perkara rohani) maka aspek rohani itulah yang wajar dilihat dan diutamakan dari yang lain-lain. Sebagai perbandingan, seorang yang makan tidak seharusnya memperhatikan semata-mata kepada makanan yang dimakan, jumlah masakan yang dapat dihidangkan. Dinilai indahnya makanan dengan berbagai hiasan, cara masakan, campuran rempah ratusnya dan sebagainya lagi sehingga masakan itu dinilai sebagai masakan cemerlang manakala ‘Chef’nya pula diberi gelaran sebagai Chef yang cemerlang lantaran kepakarannya menghasilkan masakan yang beranika rupa. Masakan yang beranika rupa, cantik dan menyelerakan dilihat pada rupa luarannya. Bagaimanapun keenakan masakan itu sendiri hanya terhasil setelah masakan itu dirasa. Aspek merasa dan mencicipi makanan bersifat ‘rohani’, sesuatu yang tidak dapat dilihat. Masakan yang indah, cantik dan kelihatan menyelerakan tidak semestinya enak dirasa.

Meskipun aspek ‘rasa’ tersebut berbeza antara sorang dengan seorang yang lain namun aspek-aspek ‘asas’ pada masakan itu ada yang bersifat universal dan boleh diterima oleh semua orang. Umpamanya tidak ‘mentah’, tahap kemasinan yang tidak melampau dan sebagainya lagi.

Aspek penting dan utama pada sesuatu masakan ialah bertujuan mengenyangkan dan memberi manfaat kepada tubuh badan, bukan memudaratkan. Apalah ertinya sesuatu masakan yang dianggap cemerlang dan diberi markah pada penyediaannya tetapi pada masa yang sama mendatangkan mudarat pada tubuh?

Seseorang yang berilmu dianggap cemerlang dengan pencapaiannya dalam ukuran pencapaian lahiriah tetapi pada masa yang sama tidak cemerlang aspek rohaninya samalah seperti masakan yang dimisalkan di atas. Ia lebih membawa mudarat kepada tubuh badan lantaran tertipu dengan indahnya hiasan masakan yang dihidangkan; terhimbau dengan bau yang menyelerakan dan banyaknya kuantiti masakan yang dapat dihidangkan.

Karakter keikhlasan, penguasaan yang sebenar kepada ilmu, pengamalan terhadap ilmu dan bersahsiah dengan ilmu yang dipelajari, sering bermutalaah dan mempelajarnya tanpa jemu lantaran sentiasa merasakan kekurangan ilmunya serta gemarnya untuk memanfaatkan ilmu tersebut kepada umum adalah aspek yang tidak diberi perhatian dalam mengukur kecemerlangan berkaitan ilmu dan kesarjanaan. Hal inilah barangkali kekurangan yang perlu dilengapkan tetapi seringkali dipinggirkan dalam menilai kecemerlangan dalam dunia keilmuan.

Tiada salahnya kita bersyukur dengan pencapaian pelajar yang ramai mendapat pangkat ‘A’ dalam sistem penilaian permarkahan. Ataupun kita mungkin boleh berbangga dengan jumlah pelajar yang ramai dihasilkan serta berdaftar. Namun pernahkah terfikir oleh kita mutu pelajar yang dihasilkan?

Apakah pelajar yang dihasilkan itu memiliki ciri-ciri ahli ilmu dan sarjana sebenar? Sejauhmanakah ilmu yang dimiliki dan dibekalkan kepada mereka mampu membentuk insane tawaduk, mengenal Tuhan Penciptanya dan sanggup duduk bersimpuh di bawah naungan rahmat kebesaran-Nya lantas akan menolak sebarang bentuk nilai yang bercanggah dengan fitrah kemanusiaan?

Mampukah nilai ilmu dan title kesarjanaan yang ‘jubahnya’ disarungkan kepada mereka dalam majlis penganugerahan ijazah itu memberi keinsafan bahawa rasuah, curi tulang, guna kesempatan dan seumpamanya lagi tidak menjadi akhlak dan budaya dalam kehidupan mereka?

Memang sukar untuk diberi jawapannya. Namun sekiranya mereka yang bergelar sarjana dan ilmu itu masih boleh terpalit dengan unsur-unsur ketidak-adilan, bongkak, sombong, takbur, meninggi diri, pantang ditegur, dan tidak bersedia mendengar dari orang lain, ternyata bahawa nilai kecemerlangan belum lagi terhasil dalam ertikata yang seutuhnya. Sedangkan nilai-nilai kecemerlangan seperti adil, tawaduk, empati, kerjasama dan lain-lain akhlak mahmudah inilah sebenarnya yang boleh membentuk masyarakat dan Negara menjadi sebuah masyarakat dan Negara cemerlang. Tanpa nilai-nilai kecemerlangan tersebut, kita hanya menghasilkan pelajar dan sarjana yang cemerlang dalam dunia akademik dan keilmuan semata tetapi gagal mencemerlangkan mereka sebagai manusia. Kegagalan kita menyedarkan manusia perihal hubungan ilmu yang dipelajari dengan sumber ilmu yang Maha Agung tidak boleh dianggap sebenar-benar cemerlang, sebaliknya kepudaran, penghasilan jiwa insaniah yang sakit dan bakal menghancurkan. Dr. Ramli Awang, FTI. ramly@utm.my [MINDA Vol. 1 (19/2013]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: